Pemimpin pembangkang dan aktivis pro-Palestin melahirkan rasa terkejut dan kesal terhadap pendirian Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang menerima hak Israel untuk wujud dan untuk "mempertahankan diri" - dua tuntutan yang sering dibuat terhadap pemimpin Islam oleh kerajaan Barat yang menyokong rejim Zionis itu.
Ketika perbahasan Dewan Rakyat hari ini, ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) menegur Anwar atas pendiriannya yang dinyatakan dalam wawancara bersama CNN baru-baru ini, apabila beliau ditanya mengenai konflik Palestin.
Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari menggesa Anwar memperbetulkan kenyataan itu.
"Dalam keadaan sekarang ini Israel tidak ada hak untuk wujud dalam dunia ini pada hari ini," kata Fadhli yang juga ahli Parlimen Pasir Mas.
"Dalam suasana seperti hari ini - kezaliman dengan segala macam jenayah yang dilakukan oleh negara ini - maka kita minta supaya PM dapat mengulangi semula kenyataan yang lebih tegas bahawa apa yang diucapkan dalam wawancara itu tidak tepat dengan pendirian yang sepatutnya kita ungkapkan."
Anwar, dalam wawancara bersama wartawan CNN Richard Quest, pada awalnya mengkritik sikap media Barat kerana menyebarkan naratif berat sebelah yang mengabaikan penjajahan rakyat Palestin.
Beliau kemudian ditanya sama ada menerima hak Israel untuk wujud dan mempertahankan diri.
CNN: Tetapi anda akan setuju bahawa, a) Israel berhak wujud.
Anwar: Ya, ya.
CNN: Dan b) Israel berhak mempertahankan dirinya.
Anwar: Ya.
Jawapan Anwar itu bercanggah dengan dasar kerajaan Malaysia yang selama ini tidak mengiktiraf negara Zionis itu.
Fadhli berkata beliau memahami Malaysia dibataskan daripada mengambil pendirian yang "terlalu keras kerana kita bergantung kepada banyak perkara".
"Tetapi dengan kita mengemukakan usul untuk mengeluarkan Israel daripada PBB, apalah sangat untuk kita menyatakan bahawa Israel sudah tidak ada hak untuk wujud dalam dunia yang ada pada hari ini, kerana negara ini diasaskan oleh genosid, kezaliman, darah rakyat Palestin yang tumpah tidak ada dosa dan alasan yang munasabah," katanya merujuk ucapan Anwar pada Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab dan Islam di Riyadh baru-baru ini.
Terdahulu, Ahli Parlimen Sik Ahmad Tarmizi Sulaiman mempersoalkan pendirian Anwar, manakala Ahli Parlimen Padang Serai Azman Nasrudin menyifatkan kenyataan itu mengelirukan dan dikesali.
"Saya risau jika ucapan ini dimanipulasi (sebagai) kita membenarkan tindakan Israel untuk terus membantai rakyat di Gaza," kata Tarmizi.
Pakar Palestin ajar PM jawab CNN
Jawapan Anwar kepada soalan CNN itu ditentang aktivis pro-Palestin yang selama ini membantah keputusannya membawa masuk sebuah syarikat milik gergasi pelaburan AS BlackRock, untuk menjadi pemegang saham dalam konsortium menguruskan lapangan terbang di Malaysia.
Azzam Tamimi, seorang ahli akademik Palestin terkemuka yang berpangkalan di London, melahirkan rasa terkejut dengan pendirian Anwar, sambil berkata perdana sepatutnya memberi jawapan berbeza kepada soalan daripada CNN.
"Jawapan betul untuk soalan pertama adalah seperti berikut: 'Apakah kamu meminta saya mengiktiraf kesahihan sebuah entiti penjajah yang dibina di atas tanah yang dicuri daripada rakyat Palestin? Apakah kamu meminta saya mengiktiraf sebuah negara yang lahir daripada pembunuhan beramai-ramai?'" Tamimi, yang pernah mengarang buku mengenai sejarah Hamas, memberitahu MalaysiaNow.
"Jawapan yang betul kepada soalan kedua ialah: 'Siapa yang berhak mempertahankan diri, penjajah atau mangsa penjajahan?'" tambahnya.
Sayap tempatan pergerakan global memulau Israel - Boycott, Divestment, Sanctions (BDS) - mengingatkan bahawa Israel dibina atas tanah rakyat Palestin yang diusir menerusi jenayah perang dilakukan negara Zionis itu.
"Yang berhak untuk mempertahankan diri dan dilindungi daripada kezaliman adalah warga Palestin dan bukan Israel. Malaysia mesti terus berusaha untuk menyekat kezaliman Israel serta memastikan Israel digantung keahlian di PBB atau ditendang keluar," kata Presiden BDS Malaysia, Nazari Ismail .
Manakala sebuah kumpulan yang lantang dan kerap menganjurkan protes pro-Palestin di Kuala Lumpur berkata tidak ada asas untuk mengatakan Israel mempunyai hak "mempertahankan dirinya".
"Kewujudan Israel sebagai negara apartheid dan tindakan dendam oleh tentera Zionis bukan pertahanan, tapi penghapusan bangsa Palestin secara genosid," kata bekas ahli Parlimen Tian Chua, yang juga jurucakap Sekretariat Solidariti Palestin.
"Israel juga menyerang negara-negara jirannya atas nama pertahanan tetapi sebenarnya adalah alasan untuk mengembangkan tanah jajahannya," tambahnya.
KONGSIKAN: