Terkini

20/trending/recent

TERJAH

Masukkan carian anda di sini !

"Jangan masuk dunia politik, sedar sikit di mana tempat kamu"




Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan mengecam Vincent Tan dengan mengingatkan hartawan itu agar tidak "memberi komen berbaur politik kepartian."

Bercakap kepada pemberita di Parlimen, ahli parlimen Bersatu itu memetik kenyataan Tan baru-baru ini membela Yang di-Pertuan Agong di tengah-tengah kontroversi pelantikan U Mobile sebagai pengendali rangkaian 5G kedua negara.

Tan, pengasas Kumpulan Berjaya, ialah pengerusi U Mobile, dan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar telah menjadi pemegang saham dalam syarikat telekomunikasi itu sejak 2015, sembilan tahun sebelum menjadi Agong.

"Saya nasihatkan tauke judi mahakaya ini agar kekal dalam dunia perniagaan dan jangan masuk dalam dunia politik. Sedar sikit di mana tempat kamu.

"Isu yang saya timbulkan ialah mengenai tadbir urus, ketelusan, kemampuan U Mobile, dan kelestarian syarikat GLC milik rakyat. Saya tidak menyentuh keperibadian pemilik U Mobile," kata Wan Saiful.

Wan Saiful merujuk hubungan Tan dengan anak syarikat Kumpulan Berjaya, Berjaya Sports Toto, manakala GLC awam terbabit ialah Digital Nasional Berhad (DNB) yang mengendalikan rangkaian 5G pertama negara.

Semalam, Tan berkata U Mobile terbuka untuk melibatkan diri dengan pengkritiknya tetapi sebarang komen yang melibatkan saham Sultan Ibrahim dalam syarikat itu mesti dilakukan secara bertanggungjawab berdasarkan fakta.

Sultan Ibrahim ialah pemegang saham kedua terbesar U Mobile dengan 22.3 peratus kepentingan dalam syarikat itu.

Pemegang saham terbesar ialah Straits Mobile Investments Pte Ltd - anak syarikat Temasek, ST Telemedia dengan 48.3 peratus kepentingan. Temasek merupakan syarikat pegangan Singapura.

Diumumkan semalam bahawa Straits Mobile Investments akan mengurangkan pegangan sahamnya kepada 20 peratus.

Sementara itu, Wan Saiful hari ini berkata Tan bebas untuk menentang hujah dari sudut perniagaan atau ekonomi.

“Tetapi saya memberi amaran agar tauke judi Tan jangan celupar mulut memberi komen berbaur politik kepartian. Dia mesti ingat bahawa rakyat Malaysia boleh pada bila-bila masa memboikot rangkaian U Mobile," kata ahli parlimen Bersatu yang ditugaskan untuk membayangi Kementerian Komunikasi itu.

Tan semalam juga membidas Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin yang pentadbirannya sebelum ini cuba mewujudkan monopoli 5G melalui DNB.

Tan mendakwa bahawa langkah itu telah meletakkan wang pembayar cukai dalam risiko, berbeza dengan pengaturan semasa dengan U Mobile.

Pada 6 Nov, MCMC berkata U Mobile dipilih berdasarkan faktor seperti rancangan perniagaan dan teknikal, rekod aduan, kepuasan pelanggan dan rekod prestasinya dalam projek infrastruktur - tanpa menyatakan sebab pesaing lain dipintas.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil sebelum ini berkata pelantikan U Mobile untuk mengendalikan rangkaian 5G kedua dibuat sebulat suara oleh pesuruhjaya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) tanpa campur tangan pentadbiran.

Dia juga berkata SKMM mempunyai hak untuk mengenakan syarat tambahan kepada U Mobile Sdn Bhd sebelum memberikan mereka spektrum untuk mengendalikan rangkaian 5G kedua negara.

Sumber : Malaysiakini



KONGSIKAN:

IKLAN BAWAH 2

Ads Bottom