MASJID TANAH - [DIKEMAS KINI] Lima anggota Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) cedera dilibas ikan arapaima gergasi ketika operasi tangkapan spesies invasif itu di sini pada Jumaat.
Operasi lebih tujuh jam bermula 9 pagi oleh sepasukan anggota DOF Melaka dengan kerjasama DOF Selangor itu berdepan kesulitan berikutan spesies itu yang bertindak agresif.
Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain berkata, lima anggota berusia 35 hingga 59 tahun yang cedera telah dikejarkan ke Hospital Alor Gajah.
Katanya, dua anggota masing-masing mengalami sesak nafas dan bengkak di lutut akibat terkena libasan kepala ikan arapaima, manakala tiga lagi cedera ringan di lutut dan dada.
"Operasi itu bagaimanapun berjaya menangkap tiga arapaima seberat 200 kilogram (kg) setiap ekor dengan panjang kira-kira 2.7 meter.
"Tiga ekor arapaima bersaiz mega ini berjaya dikeluarkan pada jam 4.30 petang," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Beliau berkata, ikan-ikan itu diberi makan oleh penduduk setempat dan pengunjung restoran berdekatan pada setiap hari.
Katanya, ikan diserahkan secara sukarela oleh pemilik apabila mengetahui bahawa ikan dibela adalah salah di sisi undang-undang.
"Serahan secara sukarela sebagai satu kesedaran kepada pemilik dan diberi amaran agar tidak mengulangi kesilapan memiliki dan membela ikan larangan.
"Kesemua ikan ini telah dibawa ke Zoo Negara," ujarnya.
Tambah Adnan, siasatan mendapati ikan itu dibela sejak kecil oleh pemiliknya dan diletakkan di dalam takungan air di bawah bangunan terbiar.
"Tindakan diambil DOF Melaka melalui aduan awam yang risau dan prihatin terhadap kesan terhadap biodiversiti spesies ikan tempatan," katanya.
MUHAMMAD AFHAM RAMLI
11 Oktober 2024 06:34pm
Kredit Sinar Harian
KONGSIKAN: