Terkini

20/trending/recent

TERJAH

Masukkan carian anda di sini !


Apa rasional sambutan luar biasa armada Tentera Laut China Pulau Pinang?




Kenyataan Media

Saya ingin menarik perhatian umum terhadap laporan akhbar The Star bertarikh 8 Oktober 2024 mengenai program sambutan luar biasa Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk kelasi dan kadet kapal Tentera Laut RRC sewaktu mereka melaksanakan aktiviti ‘port-call’ di Jeti Swettenham, George Town, Pulau Pinang.

Dilaporkan bahawa Dato Seri Law Choo Kiang, Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang sendiri telah menerima kunjungan hormat daripada dua (2) Komander People’s Liberation Army Navy (PLAN) Task Group 83 serta berlakunya program ‘Civil-Military Relations’ oleh kelasi dan kadet Tentera Laut RRC ke sekolah swasta Chung Ling High dengan pelaksanaan pelbagai aktiviti.

Sebenarnya pelaksanaan aktiviti ‘port-call’ oleh tentera laut asing di Malaysia adalah amalan yang biasa dilakukan. Samada tentera laut asing ini dalam transit antara benua ataupun selepas selesai pelaksanaan aktiviti eksesais ketenteraan dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terutamanya dari cabang perkhidmatan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Walau bagaimanapun, melalui pemerhatian saya, aktiviti ‘port-call’ yang dibuat oleh PLAN Task Group 83 ini adalah sesuatu yang di luar norma kebiasaan. Kenapa saya katakan begitu adalah:

(1) Dua buah kapal besar PLAN Task Group 83 yang melaksanakan ‘port-call’ ini iaitu Kapal Qi Jiguang dan Kapal Jinggang Shan telah melaksanakan ‘port-call’ secara bersama dalam satu masa di Pulau Pinang, walaupun sebenarnya tiada keperluan lojistik untuk mereka melaksanakan ‘port-call’ ini di Pulau Pinang mengambil kira kesiagaan beberapa pelabuhan PLAN yang dibina secara haram di Kepulauan Spratlys di Laut China Selatan yang mampu menyokong keperluan lojistik atau ‘replenishment’ dua buah kapal ini; dan

(2) Sambutan luar biasa dari Kerajaan Negeri Pulau Pinang kepada kelasi dan kadet Tentera Laut RRC yang sebelum ini jarang-jarang melaksanakan aktiviti ‘port-call’ di pelabuhan awam di Malaysia, apatah lagi aktiviti ‘port call’ yang dibuat oleh Task Group 83 ini tidak dibuat sempena pelaksanaan eksesais dengan ATM atau TLDM.

Saya berpandangan Kerajaan Negeri Pulau Pinang perlu menjelaskan kepada rakyat Malaysia kenapa dan apakah rasional sambutan luar biasa yang diberikan kepada kelasi dan kadet Tentera Laut RRC ini? Saya juga sangat musykil akan pemilihan pelabuhan Pulau Pinang oleh Task Group 83 dari RRC ini sebagai pelabuhan persinggahan berbanding pelabuhan lain di Malaysia seperti di Pelabuhan Klang ataupun Pelabuhan Langkawi.

Tindakan sambutan luar biasa oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah menghantar mesej yang salah kepada rakyat Malaysia serta tidak sensitif terhadap isu tuntutan bertindih di Laut China Selatan mengambil kira PLAN China ini secara 24 jam meletakkan aset kapal tentera laut mereka dengan disokong oleh pasukan pengawal pantai RRC di kawasan Beting Patinggi Ali dalam usaha mereka menuntut wilayah berkenaan sebagai wilayah laut RRC.

Sekian, terima kasih.

YB Dato’ Sri Ikmal Hisham bin Abdul Aziz
Ahli Parlimen Tanah Merah
Ketua Portfolio Pertahanan 
Parti Perikatan Nasional

10 Oktober 2024.






SERTAI KAMI DI TELEGRAM :


IKLAN BAWAH 1
KONGSIKAN:

IKLAN BAWAH 2



Ads Bottom