Terkini

20/trending/recent

TERJAH

Masukkan carian anda di sini !


Tuduh MB Kedah melancong ke Jepun, satu perbuatan keji!



KENYATAAN MEDIA PEJABAT MENTERI BESAR KEDAH

Tular di media sosial Menteri Besar YAB Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi Md. Nor sedang bercuti di luar negara bersama isteri tatkala beberapa daerah di negeri ini sedang dilanda bencana banjir dan ribut.

Memang benar YAB Menteri Besar sedang berada di luar negara namun bukan atas tujuan bercuti atau melancong sebagaimana yang dituduh.

Kunjungan beliau ke Kumamoto City, Jepun adalah atas urusan rasmi untuk mempelajari pengurusan operasi empangan bawah tanah  di wilayah berkenaan. 

Ini kerana satu projek alternatif akan dijalankan di Langkawi untuk mendapatkan bekalan air dari sumber bawah tanah bagi memenuhi keperluan pengguna di Pulau Permata Kedah itu sehingga tahun 2040. 

Projek itu adalah di bawah Bahagian Bekalan Air, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC). 

Projek membina empangan air bawah tanah di Langkawi yang dijangka siap pada tahun 2028 ini adalah yang pertama di Asia Tenggara.

Ia amat diperlukan bagi mengatasi masalah bekalan air di Langkawi yang sering terjejas sekali gus mencemarkan imej selaku pulau pelancongan antara yang terbaik di dunia. 

Turut serta dalam lawatan sambil belajar itu ialah beberapa staf pengurusan dan teknikal Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK).

Jepun sememangnya memiliki teknologi, kepakaran dan pengalaman yang mencukupi dalam pengurusan empangan bawah tanah. Selain Kumamoto, empangan yang sama juga terdapat di Okinawa. 








Lawatan ini sudahpun diatur lama sejak keputusan dibuat  dalam mesyuarat LSANK bertarikh 1 April 2024. 

Delegasi Kerajaan Negeri Kedah berangkat ke Negara Matahari Terbit itu pada 17 September sebelum banjir.

Ketiadaan YAB Menteri Besar di tanah air tidak akan menjejaskan operasi bantuan kerana agensi kawalan, bantuan dan keselamatan sedia ada di bawah Kerajaan Negeri dan Persekutuan diyakini mampu menangani situasi dengan efisien.

Walaupun berada jauh di luar negara, YAB Menteri Besar sentiasa mengikuti setiap perkembangan bagi  memastikan beban bencana yang dihadapi oleh semua mangsa banjir Kedah ditangani dengan cepat dan berkesan. 




Adalah sangat tidak bertanggungjawab untuk fitnah disebar dalam keadaan kita menghadapi musibah seperti ini walau atas apa tujuan sekalipun.

Ujian yang Allah SWT turunkan seharusnya menjadi muhasabah untuk kita masing-masing menginsafi diri dan  meningkatkan amal dengan membantu saudara kita yang ditimpa bencana.

Sekian.

Salam hormat.

Pejabat Menteri Besar Kedah
Alor Setar
20 September 2024

SERTAI KAMI DI TELEGRAM :


IKLAN BAWAH 1
KONGSIKAN:

IKLAN BAWAH 2



Ads Bottom