Terkini

20/trending/recent

TERJAH

Masukkan carian anda di sini !

Kini tinggal saya seorang... - Ahmad Nawab




KUALA LUMPUR: "Legasi Khan akan terus kekal," katanya.

Demikian perkongsian tokoh muzik legenda, Tan Sri Ahmad Nawab selepas adiknya yang juga pemuzik iaitu Akbar Khan, 86, meninggal dunia, semalam.

Ahmad Nawab berkata, legasi mereka tetap akan kekal meskipun dua adiknya sudah meninggal dunia.

"Kami cuma tiga beradik dan sekarang tinggal saya seorang. Walaupun tinggal seorang, selepas bapa dan adik-beradik tiada, Khan kekal sampai bila-bila pun," katanya kepada BH Online pada majlis pengebumian Allahyarham Akbar di Tanah Perkuburan Islam Taman Seri Gombak, di sini, pagi tadi.

Ahmad Nawab atau nama sebenar, Ahmad Khan Nawab Khan berkata, dua adik semuanya bekerja dalam bidang muzik mengikuti arwah bapa yang berketurunan Pakistan.

"Bapa saya orang seni, jadi saya dan adik-beradik belajar muzik dengan arwah. Jadi, seni memang mengalir dalam darah, tapi Akbar bukan sahaja minat muzik, tapi berbakat dalam melukis. Di rumahnya banyak lukisan.

"Arwah Akbar dulu bekerja dengan saya dalam syarikat rakaman, kemudian bila sudah berhenti, arwah hasilkan sendiri lagu-lagu dan banyak juga lagu arwah dalam piring hitam," katanya.

Berkongsi lanjut mengenai arwah, Ahmad Nawab berkata, adiknya seorang yang tidak banyak berkongsi masalah.

"Arwah tak beritahu orang kalau sakit. Arwah suka cakap okay sahaja. Sekiranya ada masalah duit atau sebagainya, arwah tak berkongsi dan tak suka minta tolong orang.

"Beliau sendiri selesaikan semua. Dengan saya pun arwah tak beritahu. Kalau tanya baru beliau beritahu. Sejak kecil, arwah memang begitu," katanya.

Allahyarham Akbar dilaporkan meninggal dunia dalam kereta ketika keluar ke kedai berhampiran kediamannya di Taman Sri Gombak, petang semalam.

Ketika hayat, Allahyarham Akbar pernah menjadi Ketua Kombo RTM Kawasan Utara pada era 1970-an sebelum meletakkan jawatan dan menjadi komposer residen bersama syarikat rakaman, EMI dan Nawab Productions.

Pada 1992, Allahyarham Akbar berkhidmat semula dengan Orkestra RTM dan melaporkan diri bersama Mokhzani dan pemain dram, Gary Gideon di bawah Pengarah Muzik, Datuk Ahmad Dassilah.

Antara lagu Allahyarham Akbar yang dianggap malar segar dan dekat dalam hati peminat adalah Selamat Hari Raya dendangan Allahyarham Datuk Sharifah Aini dan patriotik, Wawasan 2020 nyanyian Roy.

Sumber : Berita Harian






KONGSIKAN:

IKLAN BAWAH 2

Ads Bottom