Terkini

20/trending/recent

TERJAH

Masukkan carian anda di sini !

Kenapa Perikatan Nasional takut dengan DAP?



Ada seorang pengguna fb Hadi Hakim  meninggalkan komen di wall saya dalam posting saya sebelum ini. Komennya secara ringkas lebih kurang beginilah.

Kenapa PN takut kepada DAP? PN cuma memainkan sentimen perkauman apabila menyerang DAP. Apabila DAP berada dalam kerajaan, mereka tidak ganggu pun Perlembagaan Persekutuan.

Terima kasih Sdr Hadi kerana meninggalkan komen-komen di atas. Saya hargai komen anda.

Saya jawab beginilah.

PN tidak takut kepada DAP. Kalau takut, PN tidak akan serang DAP. Ikut sahajalah apa kehendak DAP. Hakikat PN menyerang DAP bermakna PN tidak takut kepada DAP.

Adakah PN memainkan sentimen kaum apabila menyerang DAP?

Agak sukar untuk tidak menyentuh isu kaum apabila bercakap tentang DAP. Kenapa? Kerana asas dan dasar perjuangan DAP adalah tentang kaum.

Misalnya, Deklarasi Setapak 1967 yang menjadi asas ideologi perjuangan DAP menolak kewujudan kaum Bumiputera dan Bukan Bumiputera. Saya petik ayat-ayat dalam muka surat 4, Deklarasi Setapak 1967 seperti berikut:

"Classifying citizens into “bumiputras” and “non-bumiputras”, discriminating against citizens in matters of appointments and promotions, particularly in the public sector and now increasingly in the private sector, on grounds of race, are hardly calculated, in our views, to strengthen the sense of national consciousness and solidarity in our multi-racial nation."

"Mere lip-service to the principle of racial equality, mutuality, tolerance and accommodation, will not realise the ideal of national solidarity. The principle must be seen to be clearly reflected in all national policies, and to be faithfully implemented in practice in all fields of national life."

"Such implementation of the basic principles of racial equality, mutuality, tolerance and accomodation are clearly absent for example, in the Alliance Government’s policies on the sensitive but nonetheless vital questions of language, education and culture."

Jelas DAP menolak kewujudan masyarakat Bumiputera dan Bukan Bumiputera. Bagi DAP semua orang mesti dilayan sama rata. Kerana itulah DAP menentang Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dianggap memberi layanan istimewa kepada masyarakat Melayu dan Bumiputera.

Deklarasi Setapak ini adalah dokumen ideologi dan dasar DAP sebagai sebuah parti politik. Ia dibuat ketika DAP belum berada dalam kerajaan.

Apabila DAP berada dalam kerajaan sudah tentulah DAP akan berusaha untuk melaksanakan dasar dan ideologinya. Jika tidak, DAP akan dilihat oleh penyokong-penyokongnya sebagai mengkhianati perjuangannya sendiri.

Bolehkah orang Melayu berharap DAP akan memperjuangkan nasib dan kepentingan masyarakat Bumiputera? Sudah tentulah tidak kerana hal itu adalah bertentangan dengan dasar dan ideologi parti itu.

Jadi apabila PN menyatakan pendirian perjuangan DAP mengenai kedudukan Bumiputera, adakah ia bersifat perkauman? Tidak. Ia bukan perkauman. Ia adalah pernyataan mengenai dasar parti yang mesti diketahui oleh pengundi. Kerana akhirnya pengundilah yang akan membuat pilihan di peti undi.

Jadi, terpulanglah kepada orang-orang Melayu untuk menganggapi perkara ini. Kalau mereka fikir mereka tidak lagi memerlukan parti yang memperjuangkan kepentingan orang Melayu dan Bumiputera, sokonglah DAP.

Perlukah DAP mengubah Perlembagaan Persekutuan untuk melaksanakan cita-cita perjuangan mereka?

Jawapannya tidak perlu. Kenapa saya kata tidak perlu?

Mari kita kita lihat fakta sejarah. Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan mengenai kedudukan istimewa orang Melayu telah pun ada dalam Perlembagaan Persekutuan sejak tahun 1957. Tetapi orang Melayu menjadi semakin miskin selepas Merdeka berbanding kaum-kaum lain.

Kenapa? Kerana tidak ada dasar yang benar-benar membela nasib orang Melayu selepas Merdeka. Kedudukan sosio-ekonomi orang Melayu hanya bertambah baik selepas DEB dilaksanakan oleh kerajaan pada tahun 1971.

Ini bermakna, Perlembagaan Persekutuan tidak perlu diubah. Yang perlu diubah ialah dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan yang dikuasai oleh parti yang memerintah.

Bayangkan jika parti yang menguasai kerajaan adalah parti yang melihat dasar pro-Bumiputera bersifat diskriminasi. Adakah kerajaan itu akan melaksanakan dasar pro-Bumiputera? Tentu sekali tidak.

Perlukah kerajaan tersebut meminda atau memansuhkan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan untuk tidak melaksanakan dasar pro-Bumiputera? Jawapannya tidak perlu. Perkara 153 boleh kekal di situ. Dasar kerajaan sahaja yang perlu diubah.

Misalnya, dasar kuota kemasukan ke universiti untuk pelajar Bumiputera jangan dilaksanakan. Kuota biasiswa untuk pelajar Bumiputera dikurangkan. Dasar mengenai Bahasa Kebangsaan juga boleh diubah dengan memasukkan elemen multi-lingualisme di sekolah, di pejabat kerajaan, di papan tanda jalan dan dalam majlis-majlis rasmi kerajaan.

Semua ini boleh dibuat tanpa perlu meminda atau memansuhkan Perkara 153 dan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Yang penting ialah kuasa kerajaan. Apabila sesebuah parti menguasai kerajaan, dasar parti itulah yang akan menjadi dasar kerajaan.

Adakah parti itu salah? Tidak. Bukan salah parti untuk melaksanakan dasar perjuangannya. Yang mungkin terjadi ialah pengundi tersalah pilih kerana tidak mendalami atau memahami dasar sesebuah parti.

Saya fikir setiap pengundi wajar menilai dasar sesebuah parti sebelum membuat pilihan di peti undi.



KONGSIKAN:

IKLAN BAWAH 2

Ads Bottom