KABUL: Pemimpin agung pihak berkuasa Taliban menegaskan, pelaksanaan undang-undang Islam di Afghanistan adalah 'tanggungjawab sepanjang hayat' mereka.
Hibatullah Akhundzada menekankan sedemikian dalam ucapan, semalam, sempena sambutan ulang tahun ketiga pemerintahan Taliban selepas kembali berkuasa di Afghanistan yang diraikan dengan perarakan ketenteraan serta perhimpunan di seluruh negara.
"Saudara sekalian! Tanggungjawab kita untuk berkhidmat kepada agama dan memerintah mengikut syariah (undang-undang Islam), adalah tanggungjawab sepanjang hayat.
"Kita akan melaksanakan agama Allah dan peraturan syariah untuk diri sendiri dan juga rakyat selagi hidup.
"Syariah dan sistem Islam semakin kukuh dari sehari ke sehari," katanya kepada pasukan keselamatan di sebuah pangkalan udara di selatan Kandahar.
Ucapan itu dimuat naik dalam platform X, lewat semalam, oleh ketua jurucakap kerajaan, Zabihullah Mujahid
Sebelum ini, kelibat Hibatullah jarang atau hampir tidak pernah dilihat di tempat awam.
Beliau memerintah melalui dekri dari Kandahar, iaitu tempat kelahiran gerakan Taliban. - AFP
Pejuang Taliban meraikan ulang tahun ketiga kemenangan mereka menawan semula AfghanistanKONGSIKAN: