Terkini

20/trending/recent

TERJAH

Masukkan carian anda di sini !


Pelancongan, eksport jatuh merudum, ekonomi negara haram Israel semakin meruncing


Pelabuhan Haifa

ISTANBUL: Hubungan ekonomi Israel dengan global dilaporkan semakin lemah berikutan geopolitik semasa, sekali gus menandakan kemungkinan berlakunya krisis ekonomi rejim itu dalam jangka masa sederhana dan panjang.

Selepas penularan pandemik COVID-19, eksport Israel dikatakan mula meningkat namun ia kini diganggu oleh krisis geopolitik.

Eksport bulanan Israel dilaporkan lebih rendah setiap bulan pada enam bulan pertama 2024, berbanding tempoh sama tahun lalu.

Menurut pengarah pengasas Atli Global Consulting dan pensyarah Koc University di Istanbul, Dr Altay Atli, krisis kemanusiaan yang semakin mendalam di Palestin dan penutupan laluan eksport dikatakan boleh mendorong ekonomi Israel yang berada dalam defisit perdagangan kronik menjadi lebih besar.

Ketika ini, bukan sahaja angka eksport Israel terjejas akibat krisis berkenaan, malah pusat logistik dan laluan perdagangan yang menghubungkannya dengan ekonomi global turut terjejas.


Pelabuhan Eilat yang menjadi pintu masuk Israel ke Laut Merah, kini ditutup sepenuhnya akibat serangan kumpulan Houthi yang disokong Iran di Yaman.

Serangan itu menyasarkan kedua-dua kapal Israel di Laut Merah dan pelabuhan berkenaan.

Beberapa minggu lalu, Houthi bersama kumpulan yang berpangkalan di Iraq, melakukan serangan dron ke atas kapal yang berlabuh di Pelabuhan Haifa.

Memetik laporan Agensi Anadolu, Atli berkata sekiranya konflik di utara Israel meningkat, Hizbullah di Lubnan dilaporkan akan turut menyasarkan Pelabuhan Haifa.

Krisis yang berterusan di Palestin meningkatkan ancaman keselamatan terhadap pelabuhan Israel dan laluan perdagangan maritim.

Selain itu, antara kesan paling ketara akibat melemahnya hubungan Israel dengan dunia luar ialah penurunan ketibaan pelancong.

Pada Jun 2024, jumlah pelancong yang memasuki negara itu menurun sebanyak 70.1 peratus berbanding bulan sama tahun sebelumnya.

Kemerosotan dalam pelancongan yang menjadi sektor terkuat dalam industri perkhidmatan ekonomi Israel, menyumbang kepada kerugian besar mata wang asing.

"Sebelum ini, ekonomi Israel mendapat kelebihan daya saing dengan kejayaan dalam syarikat permulaan berteknologi tinggi.

"Sektor-sektor ini bagaimanapun sangat bergantung kepada kerjasama antarabangsa yang kukuh. Kelemahan kini muncul untuk Israel berikutan keadaan semasa," katanya.

Syarikat pemula Israel dilaporkan menerima purata AS$1.7 bilion (RM7.5 bilion) dalam pembiayaan setiap suku tahun sejak perang bermula, berbanding sekitar AS$2 bilion (RM8.8 bilion) sebelum perang.

Bilangan pelabur aktif termasuk pelabur Israel dan warga asing yang melabur di negara itu menurun sebanyak 23 peratus pada bulan pertama perang.

Beliau berkata penerusan trend itu boleh memberi tamparan serius kepada salah satu sektor ekonomi terkuat Israel.

Katanya, perlu juga diperhatikan hubungan antara Israel dan AS. Sebelum ini, Israel menerima sejumlah AS$310 bilion (RM1.3 trilion) bantuan daripada AS, dengan AS$80 bilion (RM354 bilion) bantuan ekonomi dan AS$230 bilion (RM1 trilion) bantuan ketenteraan.

Pada Mac dan April lalu, AS menjanjikan bantuan tambahan AS$12.5 bilion (RM55.4 bilion) kepada Israel.

Bagaimanapun, ketidaktentuan yang mendalam dalam politik AS menimbulkan persoalan mengenai hubungannya dengan Israel serta bantuan ekonomi dan ketenteraan yang akan dibentuk selepas pilihan raya November ini.

Di sebalik kesan peperangan, perbelanjaan ketenteraan yang meningkat pesat dan belanjawan populis kerajaan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu, ekonomi Israel dilihat mempunyai infrastruktur yang kukuh dan belum memasuki lingkaran krisis.

Namun, Atli berkata untuk mengekalkan keadaan itu, Israel perlu mengekalkan hubungan yang kukuh dengan dunia luar dan ekonomi global.

"Di sinilah dikatakan letaknya ancaman sebenar," katanya. - AGENSI

Sumber : Berita Harian


SERTAI KAMI DI TELEGRAM :


IKLAN BAWAH 1
KONGSIKAN:

IKLAN BAWAH 2



Ads Bottom