Terkini

20/trending/recent

TERJAH

Masukkan carian anda di sini !


Ismail Haniyeh dibunuh pembunuh upahan, bom diseludup dua bulan awal ke dalam rumah



TEHRAN: Ismail Haniyeh, pemimpin tertinggi Hamas yang di bunuh 31 Julai lalu dipercayai akibat letupan bom yang diseludup ke rumah tamu (gambar) tempat beliau menginap di Tehran.

Perkara itu dimaklumkan oleh tujuh pegawai Asia Barat termasuk dua warga Iran, dan seorang pegawai Amerika Syarikat (AS).

Bom itu disembunyikan kira-kira dua bulan lalu di rumah tamu itu, menurut lima pegawai berkenaan.

Rumah tamu itu dikendalikan dan dilindungi oleh Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) di kejiranan mewah Neshat, di utara Tehran, lapor The New York Times.

Bom itu diletupkan dari jauh sebaik sahaja Haniyeh disahkan berada dalam bilik di rumah tamu itu. Letupan itu turut membunuh seorang pengawal peribadi beliau.

Letupan itu menggegarkan bangunan, memecahkan beberapa tingkap dan menyebabkan sebahagian dinding luar runtuh.

Haniyeh yang pernah mengetuai pejabat politik Hamas di Qatar, tinggal di rumah tamu itu beberapa kali ketika melawat Tehran.

Pegawai Iran dan Hamas berkata pada 31 Julai bahawa Israel bertanggungjawab atas pembunuhan itu - sama seperti penilaian beberapa pegawai AS yang tidak mahu nama mereka disiarkan.

Pembunuhan itu menimbulkan ancaman satu lagi gelombang keganasan di Asia Barat dan menjejaskan rundingan gencatan senjata di Gaza.

Israel tidak secara terbuka mengakui bertanggungjawab atas pembunuhan itu, tetapi pegawai perisikan Israel memberi taklimat kepada AS dan pemerintah Barat mengenai butiran operasi sejurus selepas itu, menurut lima pegawai Timur Tengah itu.

Setiausaha Negara AS, Antony Blinken berkata bahawa negaranya tidak mengetahui mengenai rancangan pembunuhan itu.

Beberapa jam selepas pembunuhan itu, timbul spekulasi Israel membunuh Haniyeh dengan serangan peluru berpandu, mungkin ditembak daripada dron atau pesawat.

Namun, teori peluru berpandu itu menimbulkan persoalan mengenai bagaimana Israel boleh mengelak pengesanan sistem pertahanan udara Iran ketika melaksanakan serangan udara itu.

Ternyata, pembunuh upahan itu dapat mengeksploitasi kepincangan langkah keselamatan dengan menyembunyikan bom itu beberapa minggu sebelum diletupkan. - AGENSI

Sumber : Berita Harian



SERTAI KAMI DI TELEGRAM :


IKLAN BAWAH 1
KONGSIKAN:

IKLAN BAWAH 2



Ads Bottom