Terkini

20/trending/recent

TERJAH

Masukkan carian anda di sini !

Ambil upah gali lubang tangki septik demi sara anak



KOTA BHARU: Terputus makanan selain berdepan tunggakan sewa rumah serta bil elektrik sudah sering dialami seorang ibu tunggal tiga anak dari Kampung Kedai Buloh, di sini.

Pelbagai kerja dilakukan Nik Nor Baizura Ayu Ismail, 43, untuk menyara hidup mereka sekeluarga termasuk mencanting batik dan mengambil upah mengemas rumah serta melipat pakaian.

Nik Nor Baizura berkata, dia pernah meminta kerja sebagai tukang kebun di sebuah sekolah tapi tiada kekosongan menyebabkan dia melakukan pelbagai kerja termasuk menggali lubang tangki septik.

"Asalkan kerja itu halal, saya tidak menolak kerana saya perlu menggalas tanggungjawab menyara hidup kami empat beranak.

"Sewa rumah RM300 sebulan juga sudah beberapa bulan tidak terbayar selain bil elektrik tertunggak RM1,000 tapi nasib baik adik lelaki yang tinggal bersama ada membantu sedikit sebanyak namun tidak lama lagi dia akan berkahwin dan berpindah keluar.

"Makan kami juga bercatu dan ada kalanya saya menebalkan muka meminta beras dari ibu yang juga seorang asnaf manakala lauk pauk pula, kerap disedekah oleh jiran tetangga," katanya ketika ditemui di rumah sewanya.

Nik Nor Baizura yang sudah tiga tahun bergelar ibu tunggal berkata, tiga anaknya berusia tiga, enam dan lapan tahun dengan dua daripadanya bersekolah di tahun dua serta Tadika.

Untuk kelangsungan hidup, dia juga menerima tempahan kerepek popia pelbagai perisa sejak beberapa bulan lalu yang dijalankannya untuk menambahkan pendapatan namun tidaklah sentiasa ditempah pelanggan.

"Saya sering menangis apabila tertekan setiap kali melihat wajah anak-anak kerana saya tidak sanggup melihat mereka turut susah tapi apalah daya saya," katanya yang menerima RM500 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di bawah skim Bantuan Kanak-Kanak (BKK).

Sumbangan boleh disalurkan menerusi Bank Agro di 2006 8430 0000 3624 atas nama Nik Nor Baizura atau menghubunginya di talian 014-3286717.

Terdahulu, dia menerima kunjungan kumpulan aktivis masyarakat Asnaf Hunter yang diwakili Engku Mohd Razali Engku Kadir yang menyerahkan wang serta barang dapur untuk kegunaan wanita itu sekeluarga.

Engku Mohd Razali berkata, pihaknya membantu Nik Nor Baizura dengan memberikan modal pusingan untuk pembuatan kerepek popia yang dijalankan wanita itu dan nilainya adalah bergantung kepada keperluan.

"Ada juga saya bantu Baizura dengan meletakkan kerepek popia yang dihasilkannya di beberapa kedai dan bantuan yang tidak seberapa ini hanyalah untuk meringankan sedikit sebanyak bebannya," katanya.

Sumber: Harian Metro 
Kiriman Info: Noor Azam


KONGSIKAN:

IKLAN BAWAH 2

Ads Bottom